Gapena tidak senang

Saya dibisikkan ada pimpinan Gapena yang tidak senang dengan rencana berita yang saya tulis. Ada di antara mereka yang mempersoalkan: “Tidak ada benda lainkah untuk ditulis?”

Mungkin sepatutnya saya tulis tentang Gapena cipta sejarah dengan buat mesyuarat agung kali pertama di rumah baru. Mungkin juga sepatutnya saya tulis tentang gagasan besar Gapena yang mahu kerajaan wartakan kawasan itu sebagai taman penulis. Mungkin juga sepatutnya saya tulis tentang betapa enaknya makanan yang dihidangkan.

Banyak juga ya isu-isu besar dan utama yang boleh diangkat ya! :)


Percubaan tambah kuasa Gapena
Gagal dapat sokongan majoriti daripada badan kerabat seluruh negara
Oleh Nazmi Yaakub @ Gambar oleh Halimaton Saadiah Sulaiman

PERCUBAAN menambah kuasa Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) melalui pindaan dan tambahan perlembagaan gabungan itu yang dibentangkan pada Mesyuarat Agung Gapena Ke-38 di Rumah Gapena, Kuala Lumpur, baru-baru ini, gagal apabila ditolak perwakilan.

Satu daripada tiga pindaan terpenting dilihat boleh memperkukuhkan kuasa kepimpinan sedia ada ialah pemanjangan tempoh teraju Jawatankuasa Kerja yang membabitkan jawatan Ketua Satu, Ketua Dua, Setiausaha Satu, Setiausaha Dua dan Bendahari serta lima Ahli Jawatankuasa Biasa daripada dua tahun kepada tiga tahun.

Pindaan itu jika diterima, turut memberi kuasa besar kepada Gapena untuk tidak hanya memecat keanggotaan badan penulis, iaitu persatuan penulis daripada gabungan berkenaan, bahkan memperluaskan kuasa Gapena untuk mengambil tindakan tatatertib terhadap ahli persatuan penulis.

Ini kerana pindaan itu membenarkan Gapena berbuat demikian sekiranya persatuan penulis yang bergabung termasuk ahlinya, tidak menyempurnakan yuran selama dua tahun berturut-turut, tidak patuh kepada Perlembagaan Gabungan atau merosakkan nama baik gabungan berkenaan.

Pindaan ketiga pula bukan saja dilihat memberi kuasa besar kepada Gapena, bahkan mengikat dan mengongkong badan kerabat apabila melarang mereka untuk bergabung dengan badan lain sama ada yang beroperasi di dalam atau luar negara, selain tidak membenarkan persatuan terbabit menubuhkan gabungan lain sesama anggota.

Bagaimanapun, perwakilan Mesyuarat Agung Gapena Ke-38 menolak dua pindaan pertama berkenaan, sekali gus mahukan peruntukan sedia ada dikekalkan, iaitu pemilihan Jawatankuasa Kerja tetap diadakan dalam tempoh dua tahun sekali manakala mesyuarat agung secara tahunan.

Pada masa, mereka juga mahukan Gapena hanya berkuasa untuk memecat keanggotaan badan penulis, tanpa berhak campur tangan dalam soal keahlian persatuan penulis kerana ia persoalan dalaman mereka.

Bagi pindaan yang menghalang anggota badan kerabat daripada mewujudkan gabungan, perwakilan Mesyuarat Agung Ke-38, meminta peruntukan baru dimasukkan, iaitu membenarkan anggota gabungan untuk bekerjasama dengan badan lain sama ada di dalam atau di luar negara, tetapi larangan bergabung sesama anggota diterima dengan izin.

Setiausaha Dua Gapena, Prof Madya Dr Hashim Ismail, berkata pindaan dan tambahan perlembagaan itu akan diserahkan kembali kepada Jawatankuasa Perlembagaan Gapena untuk mengemaskini pindaan terbabit selaras dengan kehendak perwakilan.

“Jawatankuasa Perlembagaan juga akan berbincang sama ada pindaan itu akan dibentangkan pada mesyuarat agung khas ataupun melalui edaran kepada perwakilan untuk kelulusan. Selepas itu, pindaan akan diserahkan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (Ros),” katanya kepada Sastera selepas mesyuarat agung.

Bagaimanapun, tambahan pada Fasal 3: Tujuan dalam Perlembagaan diterima oleh perwakilan untuk memasukkan frasa mempertahankan hanya bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan seperti termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Selain isu pindaan dan tambahan Perlembagaan Gapena, perdebatan pada mesyuarat agung juga hangat apabila Ketua Satunya, Tan Sri Prof Emeritus Dr Ismail Hussein, dalam ucapan pembukaan menyentuh isu pemilihan pada mesyuarat agung lalu yang menyaksikan pertandingan bagi merebut jawatannya sebagai keretakan dan konflik dalam gabungan terbabit.

Prof Ismail tanpa menyebut nama berkata, ada pihak yang menafikan pencapaian Gapena dan menganggap kejayaan gabungan terbabit tidak lebih daripada kepalsuan sehingga mewajarkan jawatan kepimpinan diambil alih dan diubah.

“Yang terkesan kepada saya ialah ada anggapan yang mempengaruhi perwakilan bahawa wang simpanan Gapena dikumpul daripada badan kerabat dan dihisap oleh Jawatankuasa Gapena sehingga berlaku korupsi di samping tidak boleh dipercayai,” katanya.

Bagaimanapun, ucapan Prof Ismail itu mencetuskan reaksi daripada perwakilan termasuk Yang Dipertua Badan Bahasa dan Sastera Sabah (Bahasa), Jasni Matlani, yang mengharapkan kepimpinan melupakan peristiwa terbabit dan memberi tumpuan untuk memajukan sastera di seluruh negara.

Jasni berkata, kepimpinan tidak sewajarnya menghentam atau berprasangka buruk terhadap ahli, sebaliknya menampilkan ciri gerakan cendikiawan yang bertindak sebagai intelektual masyarakat, selain turut memberi tumpuan kepada perkembangan sastera di Sabah dan Sarawak.

“Gapena ada kewangan yang kukuh dan sepatutnya menumpukan usaha untuk menggunakan dana bagi tujuan penerbitan dan penjualan buku berkaitan budaya, bahasa dan sastera. Tidak timbul masalah menjual buku kerana institusi seperti Perpustakaan Negara ada peruntukan untuk membeli buku yang diterbitkan itu,” katanya.

Ketua Satu, Persatuan Penulis Johor (PPJ), Amiruddin Md Ali Hanafiah, berkata Gapena sewajarnya berlapang dada untuk menerima pandangan daripada pemimpin pada peringkat bawahan.

“Atas rasa sayang kepada kepimpinan dan cinta kepada Gapena kami menegur. Ia demi perjuangan untuk bangsa dan negara. Rasa cinta juga mendorong kami memberi pandangan kepada Gapena sehingga tidak timbul persoalan ada yang cuba memecahbelahkan gabungan,” katanya.

Apa pun yang sudah terlakar dalam sejarah Gapena, sudah sampai masanya untuk gabungan terbabit membebaskan diri daripada jaring nostalgia dengan bersikap lebih proaktif termasuk dalam memikul tujuan yang termaktub dalam perlembagaannya seperti bertindak sebagai badan berwibawa dalam isu budaya, bahasa dan sastera.

Ini bertepatan dengan hasrat Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang diluahkan dalam ucapan perasmiannya yang mahukan Gapena menjadi suara kuat dan berpengaruh sehingga pandangan mereka menjadi pertimbangan dalam arus perdana serta turut menentukan dasar kerajaan.

Justeru, Gapena wajar membuktikan kewibawaannya melalui tindakan seperti merealisasikan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin secepat mungkin dan menubuhkan Badan Perlindungan Hak Cipta demi kepentingan pengarang!

PETIKAN

“Gapena ada kewangan yang kukuh dan sepatutnya menumpukan usaha untuk menggunakan dana bagi tujuan penerbitan dan penjualan buku berkaitan budaya, bahasa dan sastera”

Jasni Matlani
Yang Dipertua Bahasa

“Atas rasa sayang kepada kepimpinan dan cinta kepada Gapena kami menegur. Ia demi perjuangan untuk bangsa dan negara. Tidak timbul persoalan ada yang cuba memecahbelahkan gabungan”

Amiruddin Md Ali Hanafiah
Ketua Satu PPJ

11 polemik:

saleeh rahamad 2009 Julai 14 16:16  

tu la. yang demo dok ganyang gapena sapa suruh. lain kali puji sikit kalau nak hentam pun. tapi la ni susah juga nak cari wartawan berani macam demo dan salbiah ani.
saya nak syorkan agar salbiah ani diberi anugerah pejuang bahasa. gapena tak kan nak buat gitu. nampaknya pena kena fikirlah macam mana. si nazmi ni pun boleh juga diberi anugerah...ok tidur dulu cari ilham

Naim 2009 Julai 14 17:07  

sikit-sikit cuit mereka, apa salahnya?

Biasalah, kalau dicuit, orang kan melatah....

Biarlah... kita terima mana-mana yang baik untuk kebaikan bersama.

@Naimisa

H. Fansuri 2009 Julai 14 17:30  

nak cakap pun serba tak kena sebab kita ni budak baru belajar rangkak lagi dalam dunia sastera ni.

cakap lebih-lebih sat gi, masuk dalam BH pulak. [he he, kawe gurau je Nazmi.]

btw, syor terakhir mengenai Badan untuk melindungi pengarang, buku mereka is a good move!

Ehem, dgn izin menggunakan bahasa penjajah buat sementara...

Mansuhkan PPSMI 2009, bukan 2012!

saifullizan yahaya 2009 Julai 14 19:42  

Biasalah itu, Kawan. Itulah keberanian jika mereka hendak tulisan yang memuji sahaja tulis sendiri. Orang muda sekarang harus ada keberanian untuk bertingkah bukan kurang ajar tetapi kita bukankah generasi pewaris dan angkatan mereka pun tidak ada yang terlibat dalam kemerdekaan. Golongan mereka hanya mengisi kemerdekaan dan kita golongan penerus kemerdekaan, tetapi apa ke jadahnya jika mereka sahaja yang hendak berkokok kata kita hanya penikmat kemerdekaan. Sebenarnya merekalah penikmat, sebab tu mereka sayang nak tinggalkan hidangan yang lazat, tak sempat habis, bila dah habis baru tinggalkan kepada kita. Terus menulis kawan. Kawan-kkawan kita pun kalau kau kritik sekali sekala tak apa juga kerana kita tak sedar ada nyamuk jika nyamuk tidak menggigit. (ini termasuklah diri aku sendiri yang banyak tak puas hati sekarang ini). tak tahu lah. Diam itu lebih baik kata Baginda.Astaghfirullah.

Nazmi Yaakub 2009 Julai 15 13:08  

saleeh.. hehehe lepas ni giliran pena pulak :))

naim, biasalah cuit orang tua :)

fansuri, habis datuk2 ni tak boleh ditegur barang sikit

saiful, insya-Allah. terima kasih kawan.

Fizahanid 2009 Julai 15 17:53  

Nazmi, apalah sangat tidak disenangi Gapena, bukankah yang lebih menggerunkan apabila tidak disenangi Salbiah Ani?
hehehe.. Kak Sal.. sumpah saya buat lawak2 jer.. jgn marah! :D

Pyanhabib 2009 Julai 15 20:22  

rumah gapena tu dah macam rumah orang tua-tua dah! (patut dibina tugu orang tua terpacak menongkat langit)

Zaid Akhtar 2009 Julai 15 21:53  

Tuan Haji Mohnas,
zaman majalah Tamadun, Wasilah dan Editor tuan haji dah kembali?
:-)

Nazmi Yaakub 2009 Julai 16 14:04  

fiza, tau takut.. hehehe

pyan, kalau mau bikin tugu, apa bentuknya?

zaid, memetik lagu wings... remaja yg kita tinggalkannnnn...

salinaibrahim 2009 Julai 16 14:39  

senang je nak glamor kat BH. keluarkan isu yang bukan-bukan sikit. Nazmi& BH pasti tulis.... heheheh

Nazmi Yaakub 2009 Julai 16 15:41  

kak salina,
habis tu apa yg isu yg tidak bukan-bukan? :)

Plot

Dibasuh dari sumur Ma’ahad Muhammadi; mengalir di sepanjang nahar Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS), lalu dibilas di lembah al-Azhar as-Syarif di tebing Sungai Nil apabila tercampak di pekan kecil Damanhur, pengarang kelahiran Kota Bharu pada 10 Februari 1978 ini, terlontar ke ranah kewartawanan.

Rentak tari pada pentas jurnalisme bermula di meja Sentral dan Jenayah, sebelum berpencak di meja Sastera bersama-sama pengarang tanah air dan Nusantara dari yang bergelar sasterawan hingga penulis yang masih ranum.

Klik untuk menyusuri plot...

E-mel 1: Bukunotakaki
E-mel 2: Sastera Berita Harian
E-mel 3: Literature Journalist
Blog puisi: Bukupuisi
Facebook: Nazmi

ShoutMix chat widget

Penyusur

Twitter bergerisik

    follow me on Twitter