Kisahnya begini. Malam baca puisi di masjid di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) berhampiran dengan kediaman saya sempena Ramadan diadakan sudah masuk tahun kedua. Masuk tahun ketiga, penganjurannya dibatalkan. Penganjurnya memberitahu saya, wakil pelajar membantahnya atas alasan penganjurannya mengganggu jamaah yang membaca al-Quran, menambah amalan sempena 10 malam terakhir Ramadan.
Saya terhutang dengan penganjur itu untuk membangkitkan hal ini agak lama. Hanya akhir Ramadan lalu, saya sempat menemuramah Dinsman dan juga Ustaz Azman al-Kurauwi. Asalnya, saya mahu menambah seorang lagi pendakwah (yang tanpa disedari adalah teman serumah Azman semasa di Jordan dulu) tetapi Allah tak mengizinkannya.
Apa pun, Azman sendiri ialah Imam 1 Masjid al-Hukama, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang saya kira pandangannya ialah berkredibiliti. Begitu juga saya petik pengalaman Dinsman yang mementaskan Menunggu Kata Dari Tuhan di sekian banyak masjid.
Saya harap adik-adik di IPT yang berhampiran dengan kediaman saya membacanya, lalu terbuka sedikit minda mereka supaya -meminjam kata-kata Azman- tidak menjadikan masjid sebagai institusi untuk rukuk dan sujud semata-mata.
SASTERA sebagai wadah dakwah Islam sudah lama diperkata dan diperdebatkan seawal polemik antara Sasterawan Negara (SN), Prof Emeritus Datuk Dr Shahnon Ahmad dengan Dr Kassim Ahmad pada dekad 1980-an lagi, sebelum ia makin kental dengan pelbagai teori sastera Islam dan pembabitan pelajar agama sebagai pengarang kreatif.
Bagaimanapun, masjid yang menjadi institusi terpenting dalam Islam dan pusat dakwah yang utama seolah-olah masih asing dengan aspek kesusasteraan dan kesenian sehingga penganjuran acara puisi dan pementasan teater masih sukar diterima umum.
Tidak hairanlah ada acara apresiasi puisi Ramadan di masjid anjuran institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Lembah Klang terpaksa dibatalkan menerima rungutan daripada jemaah dari kalangan pelajar yang menganggap penganjuran itu mengganggu meskipun dibuat selepas solat Tarawih.
Bagaimanapun di sebalik rungutan jemaah terhadap acara baca puisi itu, fungsi dan peranan masjid yang diperluaskan kepada pusat kebudayaan menerima suntikan baru apabila teater pula dipentaskan di institusi berkenaan yang bukan hanya di perkarangan, bahkan di ruang solat sendiri.
Pengasas Teater Elit, Che Shamsuddin Othman atau lebih dikenali sebagai Dinsman berkata, pemilihan masjid sebagai ‘pentas’ teaternya, Menunggu Kata Dari Tuhan, dibuat ekoran jemputan Masjid Batu di Permatang Pauh untuk mementaskan teater karya dan arahannya itu.
“Memang asalnya saya tidak terfikir untuk mempersembahkannya dalam masjid, tetapi jemputan pengerusi jawatankuasa masjidnya itu membuka ruang kepada pementasan teater yang pada pengetahuan saya kali pertama diadakan di masjid.
“Sebelum atau ketika pementasan, kami tidak menerima sebarang rungutan daripada jemaah kalau-kalau ia mengganggu mereka, manakala pihak masjid sendiri pun sudah mendapatkan nasihat mufti,” katanya kepada Sastera melalui telefon.
Bagaimanapun, Dinsman berkata, penggunaan biola untuk muzik dalam pementasan teater yang dilakonkan oleh Sabri Yunus dan muzik oleh Sani Sudin itu diubah kepada gendang atas nasihat mufti negeri berkenaan.
“Selepas berita pementasan teater itu disiarkan di akhbar, pihak jawatankuasa masjid berminat untuk membawa Menunggu Kata Dari Tuhan ke masjid mereka sehingga kita sudah berkeliling ke merata tempat.
“Antaranya ialah Masjid Jamek Al-Amaniah di Batu Caves; Surau Sekolah Agama Menengah Rawang; perkarangan Masjid Jamek An-Najah, Padang Serai dan Masjid An-Nur di Bandar Baru Bangi,” katanya yang terkenal dengan teater absurd seperti Bukan Bunuh Diri dan Protes.
Di Masjid An-Nur, beliau berkata, alat muzik diubah kembali kepada biola seperti skrip asalnya apabila jawatankuasa masjid itu merujuk hal berkenaan kepada ulama seperti Datuk Dr Harun Din yang membolehkan penggunaan biola, sekali gus menjadikannya sebagai pertama kali digunakan di dalam masjid.
“Baru-baru ini juga kita mementaskan Menunggu Kata Dari Tuhan di surau di Taman Nirwana, Ampang yang turut menggunakan biola dan jawatankuasa masjid awal-awal lagi sudah menampalkan petikan hukum fiqh membabitkan penggunaan alat muzik bagi membolehkan jemaah mengetahui hukum yang sebenar.
“Setakat ini kami hanya mementaskan Menunggu Kata Dari Tuhan dan memang ada cadangan supaya memperbanyakkan lagi kisah sahabat yang diangkat sebagai teater,” katanya.
Teater Menunggu Kata Dari Tuhan menyorot kegelisahan sahabat Rasulullah, Kaab bin Malek yang berasa bersalah apabila cuai dan melambat-lambatkan pemergiannya untuk menyertai perang Tabuk sehingga beliau tertinggal di Madinah, sekali gus ia berkisar mengenai tekanan hebat yang dihadapi Kaab untuk menanti pengampunan dari Allah.
Imam 1 Masjid Hukama’, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Azman Ahmad, berkata hukum menganjurkan program berbentuk kesenian dan kebudayaan seperti baca puisi dan persembahan teater di dalam kawasan masjid adalah harus.
“Malah, hukum penganjuran program berkenaan boleh berubah kepada sunat dan wajib dalam konteks memakmurkan masjid kerana ia dapat memaksimumkan fungsi dan peranan masjid sebagai institusi dakwah dalam masyarakat moden kini.
“Transformasi fungsi dan peranan masjid hari ini wajar dibuat secara lebih terbuka bukan saja sebagai pusat keilmuan, bahkan turut menumpukan aspek kesenian dan kebudayaan Islam khususnya dalam membina asas kepada modal insan,” katanya yang juga Pegawai Perancang Bahasa di Bahagian Peristilahan dan Leksikologi, Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera DBP.
Azman mengingatkan masyarakat supaya tidak melihat masjid sebagai institusi yang semata-mata berkaitan sujud dan rukuk atau menjadikan rumah Allah itu hanya gah ketika solat Jumaat dan hari kebesaran tertentu seperti Aidilfitri serta Aidiladha saja.
Mengenai tanggapan program seperti itu mengganggu jemaah yang melakukan ibadat, Azman menasihatkan penganjur program baca puisi atau teater di dalam kawasan masjid merencanakan program berkenaan secara profesional dengan mengambil kira faktor ruang, pengurusan masa dan penonton yang bersesuaian.
“Adab penganjuran, seniman dan penonton dalam rumah Allah sewajarnya dijaga seperti yang digariskan dalam Islam seperti menutup aurat, menjaga batasan pergaulan antara lelaki dan wanita dan tidak berlebih-lebihan.
“Saya fikir tidak timbul isu program baca puisi atau persembahan teater itu akan mengganggu jemaah sekiranya kita memahami baca puisi dan teater juga bersifat ibadat sekiranya kita menjaga niat dan syariat,” katanya.
Mengenai pembabitan Muslimat dalam program terbabit di masjid pula, Azman berkata, ia sama dengan hukum wanita berada di dalam masjid dengan memelihara fiqh taharah atau bersuci demi memelihara kesucian masjid.
“Malah hukum wanita mendeklamasi puisi tidak harus menjadi isu besar kerana hukumnya tentulah sama seperti hukum wanita berceramah atau hukum wanita bernasyid.
“Bagaimanapun, sekiranya pembabitan wanita dalam program berkenaan sampai ke tahap melanggar syariat Islam atau membuka ruang fitnah, maka hukum keharusan itu akan gugur,” katanya.






1 polemik:
Sebab itu aku yakin, tak pernah ada perubahan. Yang berlaku, hanyalah perubahan retorik.
Catat Ulasan