SENARAI pendek novel yang dicalonkan dalam Hadiah Antarabangsa untuk Fiksyen Arab (IPAF) baru saja diumumkan. Enam novel itu disaring daripada 16 novel senarai panjang yang dipilih daripada 123 penyertaan dari dunia Arab. Berbeza dengan Hadiah Man Booker Asia yang menilai karya yang diterjemahkan ke bahasa Inggeris berdasarkan format terbarunya, karya yang menyertai IPAF adalah karya asal dalam bahasa Arab meskipun pengarangnya menjadi pengarang diaspora di Barat.
1. Lengkung dan Rama-rama (Al-Qus wal Firashah) karya Muhammad al-Asyari
Menerobos tema ekstrimisme dan terorisme dalam (baca: yang dikaitkan) Islam lewat perspektif baru, Lengkung dan Rama-rama menyelongkar kesan keganasan global kepada kehidupan keluarga yang kecil. Ia menyorot bapa yang berfahaman kiri menerima surat daripada al-Qaeda yang memaklumkan anaknya yang selama ini diyakininya menyambung pelajaran di Paris, baru saja syahid di Afghanistan. Novel ini melihat kepada kesan berita yang mengejutkan itu ke atas watak utamanya dan susulan terhadap hubungannya dengan isterinya. (Al-Markaz al-Thaqafi al-Arabi - Pusat Kebudayaan Arab)
2. Tarian Timur (Ruqsoh Syarqiah) karya Khalid al-Bari
Tarian Timur mengangkat kisah anak muda Mesir yang mengahwini wanita British yang berusia, lalu berhijrah ke England. Lewat pandangannya, pembaca diberikan kisah pergelutan dan perhubungan di kalangan masyarakat ekspatriat Arab di UK. (El-Ain Publishing)
3. Pemburu Chrysalis (So'id al-Yarqat) karya Amir Taj al-Sir
Pemburu Chrysalis menyorot kisah bekas ejen perkhidmatan rahsia yang dipaksa bersara ekoran daripada pembabitannya dalam satu insiden, lalu mengambil keputusan untuk menghasilkan novel berdasarkan pengalamannya. Dia mula mengunjungi kafe yang selama ini menjadi tumpuan kelompok intelektual, tetapi mula mendapati dia dipantau dan diekori oleh pihak keselamatan. (Thaqafa al-Nashr - Penerbitan Kebudayaan)
4. Brooklyn Heights (Brooklyn Heights) karya Miral al-Tahawy
Brooklyn Heights menyorot kisah imigran Arab di New York dan masyarakat setempat di sekitar mereka lewat pandangan narator wanita. Dengan membezakan pengalaman di tanah barunya, Amerika dengan tanah airnya di Mesir, dia mendedahkan masalah dalam hubungan antara Timur dengan Barat. Ia adalah kisah fundamentalisme dan toleransi, kehilangan dan harapan dalam cinta. Ceritanya mudah tetapi sarat dengan gambaran suasana, sekali gus menyelongkar latar Amerika dalam tempoh satu dekad. (Dar Merit)
5. Kalung Merpati (Tuuq al-Humam) karya Raja Alim
Dunia hitam yang tersembunyi daripada pandangan umum di kota Makkah ini, mendedahkan cerita yang menghairankan. Dunia yang dilukis oleh watak utamanya, Aisha, menyelongkar persoalan pelacuran dan ektrimisme agama serta eksploitasi buruh asing di bawah kontraktor pembinaan ala mafia, yang memusnahkan kawasan bersejarah di sekitar kota berkenaan. Dunia kelam itu berlawanan dengan surat cinta Aisha kepada teman lelakinya berbangsa Jerman. (Al-Markaz al-Thaqafi al-Arabi - Pusat Kebudayaan Arab)
6. Seksaanku (Mu'azzibati) karya Bensalem Himish
Dalam novel yang mencengkam ini, gaya penceritaannya membaurkan antara Kafka dengan Hikayat Seribu Satu Malam, Bensalem membayangkan pengalaman manusia yang tidak berdosa dalam penjara di Amerika. Semasa penahanannya, protagonis terpaksa melalui soal siasat dan seksaan yang dilakukan oleh penyiasat Arab dan asing, tetapi di luar dugaan, pengarang berupaya menemui sedikit harapan dalam situasi yang sangat mendesak itu. (Dar El Shorouk)
Syabas Phahrolrazi, Terima EXCO Bersyarat
9 min yang lalu






0 polemik:
Catat Ulasan