Deklarasi Istanbul 2010

Pada 25 hingga 27 November lalu, Parlimen Pengarang Eropah (EWP) menganjurkan acara sastera antarabangsa yang dianggap terbesar dalam sejarahnya di Istanbul, Turki. Ada beberapa hal penting yang dibincangkan, iaitu membabitkan industrialisme, kebudayaan massa dan sastera; penstrukturalan semula konsep sempadan sastera Eropah; sastera dalam era digital dan landskap sastera.

Ini kerana hal seperti isu sastera dalam arus komersialisasi, usaha menampilkan Eropah sebagai budaya super termasuk sasteranya, impak teknologi maklumat terhadap medium utama sastera, iaitu kertas dan ranah sastera dalam konteks nasionalisme dan globalisasi adalah masa depan sastera yang perlu dijawab, bukan saja dalam konteks Eropah, bahkan dunia hari ini, termasuklah Malaysia.

Sastera yang tidak terlepas daripada dunia kapitalisme yang tentunya berkait dengan isu kegawatan dan pra-keruntuhan ekonomi dunia hari ini, adalah sebahagian komoditi yang melintas sempadan dunia dan pada masa sama berdepan dengan cubaan untuk mewujudkan satu nilai untuk mengukur mutu sastera, iaitu nilai wang. Justeru, karya yang melonjak sebagai best-seller atau memenangi anugerah dianggap sebagai karya yang bermutu, bukannya nilai yang ada pada karya sastera itu sendiri.

Eropah juga sedang usaha membebaskan diri daripada isu-isu dalaman yang membabitkan persaingan antara sastera Inggeris dengan Perancis atau Jerman, sebaliknya sedang berusaha untuk tampil sebagai budaya super yang cuba mendominasi dunia - kerana itu proses mewujudkan sastera atau budaya Eropah mendapat perhatian besar.

Mereka tidak lagi membincangkan proses pembinaan pengarang muda atau penterjemahan karya multi-etnik atau pemartabatan bahasa kebangsaan, sebaliknya meletakkan sastera sebagai agenda budaya yang penting untuk mendominasi dunia. Sekurang-kurangnya mereka memiliki tiga bahasa penting yang berkait rapat dengan wilayah pasca-kolonial masing-masing, iaitu Inggeris, Perancis dan Jerman, serta memperkukuhkan cengkaman sedia ada.

Justeru, dunia sastera tanah air hendaklah melihat perkembangan sedia ada dan masa depan yang sedang dirancang itu, serta tidak boleh terperangkap dalam isu tempatan semata-mata.

Deklarasi yang dikeluarkan oleh EWP sempena persidangan besar mereka itu sebenarnya sudah menampakkan bayang-bayangnya di negara kita. Memang ada yang perlu diberikan perhatian yang berhati-hati dan berhemat kerana ia bukan saja menyentuh soal nasionalisme, bahkan tidak mustahil boleh menggegarkan sempadan yang ditetapkan Islam itu sendiri.


Deklarasi Istanbul 2010 sempena Parlimen Pengarang Eropah

• Kebebasan semua jenis tindakan kebudayaan dan kesusasteraan adalah penting. Setiap penghalang yang menghadang kebebasan ekspresi sama ada secara langsung atau tidak, hendaklah dihapuskan. Institusi yang berkuasa dan masyarakat sivil hendaklah digerakkan untuk menghalang keganasan dan ancaman terhadap kebebasan ekspresi.

• Semua tindakan yang menghalang kebebasan penerbitan hendaklah dimusnahkan; semua cara yang menekan pengarang, penterjemah dan penerbit termasuklah penggunaan akta dan undang-undang penal yang mengganggu dan mengugut pengarang seperti yang berlaku di Turki dan di tempat lain di Eropah.

• Tekanan linguistik tidak dapat diterima. Setiap orang hendaklah bebas untuk meluahkan diri mereka dalam bahasa yang menjadi pilihan mereka. Cara yang sepatutnya hendaklah difikirkan untuk menghapuskan hierarki antara pusat dengan kelompok luar. Bahasa minoriti dan minor hendaklah disokong, manakala penterjemahan dua hala antara bahasa-bahasa hendaklah diberikan dana. Peranan penterjemahan yang optimum, penting untuk menentukan landskap sastera. Terjemahan sangat mustahak untuk menyeberangi sempadan sastera. Sumber dana yang baru hendaklah ditinjau, manakala dana sedia ada hendaklah dipertahankan.

• Tindakan hendaklah diambil untuk menghasil dan membuka laluan untuk karya bukan aliran perdana dan hasil independen dalam sastera. Genre sastera yang berisiko untuk lenyap hendaklah dipertahankan. Polisi sepatutnya diwujudkan untuk menghalang daripada proses standardisasi karya ekspresi dan mempromosi kerencaman judul buku.

• Media digital sangat penting untuk kebebasan berfikir dan ekspresi. Media digital adalah lingkungan yang berpotensi untuk pendemokrasian. Kami menentang strategi pemantauan dan penapisan kerajaan yang bertujuan untuk mengehadkan aliran maklumat dan idea yang bebas. Cara baru hendaklah ditemui untuk mendapatkan laluan maklumat berkualiti tinggi dan mempertahankan hak pengarang.

• Sempadan politik, etnik, agama dan negara hendaklah tidak menjadi halangan kepada pengarang. Kami menyokong kepelbagaian dan penukaran kebudayaa.

0 polemik:

Iklan Nuffnang

Plot

Dibasuh dari sumur Ma’ahad Muhammadi; mengalir di sepanjang nahar Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS), lalu dibilas di lembah al-Azhar as-Syarif di tebing Sungai Nil apabila tercampak di pekan kecil Damanhur, pengarang kelahiran Kota Bharu pada 10 Februari 1978 ini, terlontar ke ranah kewartawanan.

Rentak tari pada pentas jurnalisme bermula di meja Sentral dan Jenayah, sebelum berpencak di meja Sastera bersama-sama pengarang tanah air dan Nusantara dari yang bergelar sasterawan hingga penulis yang masih ranum.

Klik untuk menyusuri plot...

E-mel 1: Bukunotakaki
E-mel 2: Sastera Berita Harian
E-mel 3: Literature Journalist
Blog puisi: Bukupuisi
Facebook: Nazmi

ShoutMix chat widget
Rak buku Nazmi: Menggetis buku

Universiti Kedua: Kisah Tahanan Di Bawah ISAAnugerah PertamaRANGGAUPostponing Truth and Other Poems = Menangguhkan Kebenaran dan Sajak-sajak LainLeksikon Sastra JakartaMalu (Aku) Jadi Orang Indonesia

More of Nazmi's books »
Nazmi Yaakub's currently-reading book recommendations, reviews, favorite quotes, book clubs, book trivia, book lists

Penyusur

Twitter bergerisik

    follow me on Twitter