ANUGERAH Buku Negara 2010 sudah lama berlalu, lebih seminggu yang lalu. Bagaimanapun, kontroversi sudah timbul lebih awal lagi apabila senarai pencalonan Anugerah Perdana Tun Seri Lanang dimasukkan ke dalam Goodreads. Saya ketika itu turut menjangkakan Datuk Seri Dr Rais Yatim bakal meraih anugerah itu, meskipun Sasterawan Negara (SN) Prof Emeritus Shahnon Ahmad lebih wajar.
Tekaan saya itu bukan saja tepat, bahkan senarai yang lain turut menimbulkan keanehan. Awalnya, saya ada membuat komen sepintas lalu tentang penganugerahannya di Goodreads, tetapi apabila saya menelitinya sekali lagi, semakin banyak keanehan-keanehannya. Oleh kerana saya tidak hadir, saya tidak tahu apakah penganjur ada menyediakan ulasan penghakiman yang boleh menjadi kayu ukur untuk kita ketahui faktor kemenangan mereka.
Malah, senarai pemenang kategori ini pun tidak disiarkan di laman rasmi (?) Anugerah Buku Negara. Saya mencatatnya kembali berdasarkan gambar yang dimuat naik oleh Syafiq Zulkafli di laman Facebooknya. Barangkali ini adalah senarai pemenang Anugerah Buku Negara 2010 yang paling lengkap. Ironinya, ia tidak disediakan oleh penganjur sendiri!
Barangkali selepas ini, penganjur boleh membuat salinan dari blog saya untuk dihebahkan di laman rasminya. Sekurang-kurangnya ada juga manfaatnya kalau pun mereka tidak mengendahkan ulasan yang saya tulis!
Kategori Anugerah Perdana
1. Anugerah Perdana Tun Seri Lanang: Datuk Seri Dr Rais Yatim
Penganugerahan ini lebih berbentuk politikal berbanding sumbangan yang diberikan dalam konteks khazanah buku yang menjadi tanda aras kepada kemajuan sesebuah bangsa. Sepatutnya penilaian terhadap sumbangan Rais perlu dipisahkan antara tugasannya atas kapasiti menteri yang dipertanggungjawabkan terhadap kebudayaan dengan sumbangannya dalam konteks perbukuan.
2. Anugerah Perdana Za’aba: Prof Madya Dr Talib Samat
Talib memang banyak menghasilkan buku baik kreatif atau non-kreatif, tetapi mutu buku juga wajar diambil kira. Bagaimanapun, tanpa mengetahui siapakah calon yang bersaing dengannya, sukar sekali untuk menilai apakah anugerah itu tepat atau tidak.
3. Anugerah Perdana Aminuddin Baki: Bahagian Buku Teks, Kementerian Pelajaran
Seandainya sumbangan yang dinilai untuk anugerah ini adalah menguruskan buku, saya yakin pemenang yang paling patut adalah Perpustakaan Negara Malaysia (PNM). Namun, penilaian tidak sewajarnya hanya atas faktor pihak mana yang paling banyak tenggelam dalam buku seandainya buku mereka runtuh! Bagaimana pula dengan isu novel KOMSAS yang banyak dipertikaikan?
4. Anugerah Perdana Munsyi Abdullah: Sasbadi Sdn Bhd
Setahu saya Sasbadi banyak menerbitkan buku rujukan. Apakah buku rujukan sudah cukup sehingga melayakkannya untuk mendapat anugerah itu?
5. Anugerah Perdana Toko Buku Negara: Rangkaian Kedai Buku Popular
Setakat hari ini, kedai buku yang paling aktif terbabit selain dalam aktiviti asasi mereka, adalah Popular. Kejayaannya melaksanakan pesta buku sendiri, meskipun banyak dibantu oleh faktor ekonomi bahasa Cina, tidak boleh diremehkan. Begitu juga Popular bekerjasama dengan dua akhbar arus perdana, The Star dan Berita Harian - memperlihatkan keupayaan bahagian pemasaran mereka mencari peluang publisiti dalam media tanpa hanya mengharapkan media berlutut kepada mereka.
6. Anugerah Perdana Penerbit Negara: Datuk Hussamuddin Yaacub
Barangkali saingan terdekatnya ialah pemilik PTS, Ainon Mohd. Dengan akhbar, majalah dan buku serta tempoh masa yang lebih lama, mungkin di sinilah letaknya nilai pemilihannya.
Kategori Anugerah Industri
1. Buku Kanak-kanak Terbaik: 366 Cerita Rakyat Malaysia
Kemenangan buku ini sebenarnya bukan saja mengecewakan, bahkan juga memberikan isyarat yang salah kepada sastera kanak-kanak terbaik. Bayangkan buku terbaik untuk sastera kanak-kanak di negara ini, sudah tidak ada sejak 1996 lagi atau hampir 15 tahun kerana buku ini pertama kali diterbitkan pada 1995. Bahkan salah seorang penyusunnya sudah lama meninggal dunia, hampir 10 tahun lalu! Apakah benar sastera kanak-kanak Malaysia sudah benar-benar tandus atau panel penilainya yang tandus?
2. Buku Bersiri: Siri Terapi Alam
3. Buku Khazanah Warisan Terbaik: Khazanah Pantun Warisan Melayu Riau
Saya ingin sekali mengetahui saingan buku tentang khazanah warisan kerana mahu memberikan pertimbangan yang adil.
4. Buku Biografi Terbaik: Dato’ Jamil Sulong
Beberapa tahun kebelakangan ini, saya kira kita tidak kekeringan buku biografi, autobiografi atau memoir yang terbaik daripada tokoh ilmuwan, sastera, politik, akhbar atau korporat. Justeru saya tertanya-tanya apakah yang membuatkan biografi seniman yang paling baik, apakah kerana buku itu memberikan kesan besar kepada pembaca atau susunan ayatnya sangat cantik dan indah? Saya mungkin tidak berlaku adil kerana memang kalau berkunjung ke kedai buku termasuk BooXcess, saya hanya melihat sepintas lalu rak buku autobiografi/biografi kerana terlalu sendat dengan buku selebriti.
5. Penerbit Ensiklopedia: Tafsir Al-Mubin
Saya tidak pasti sama tafsir boleh dimasukkan dalam senarai ensiklopedia. Apakah ini juga bermakna semua kitab agama yang diterbitkan dalam banyak jilid turut dikategorikan sebagai ensiklopedia. Pohon pencerahan.
6. Buku Terjemahan Terbaik: Senandung Malam
Kita perlukan senarai pendek buku yang masuk dalam semua kategori sebenarnya.
7. Penerbit Prolifik: Penerbit Al-Hidayah Sdn Bhd
Wajar sekali ada statistik yang menyokong penganugerahan ini.
8. Buku Umum Terbaik (Fiksyen): Abu Bakar Sahabat Sejati
Ada satu kesalahan sama ada dilakukan oleh penganjur/penilai atau penerbit/pengarang. 1. Penganjur/penilai tersalah letak/nilai buku tentang sejarah sahabat Rasulullah yang paling mulia dan khalifah Islam yang pertama sebagai satu fiksyen - ia membawa konotasi yang sangat berbahaya. 2. Penerbit/pengarang tidak peka dengan kepentingan fakta dan kebenaran sehingga penganjur/penilai menganggap ia tidak lagi menjadi sebuah biografi.
9. Buku Kanak-kanak Terbaik (Bukan Fiksyen): Kisah 25 Rasul Untuk Adik-adik
Nasib baik buku ini tidak dimasukkan dalam senarai fiksyen!
10. Buku Remaja Terbaik (Fiksyen): Budi Bahasa Cara Kita
Saya kira judul juga wajar diambil kira dalam penilaian. Tanpa mengambil kira isi pun, saya boleh agak buku ini mungkin tidak ramai dibaca oleh remaja!
11. Buku Remaja Terbaik (Agama): Siri Modal Insan Terbilang
12. Buku Umum Terbaik (Bukan Fiksyen): Natrah @ Nadra @ Huberdina Maria Hertogh @ Bertha: Cinta, Rusuhan, Air Mata Ya buku ini memang mendapat banyak pendedahan. Namun, kemenangan buku ini sangat aneh mengingatkan ada kategori biografi yang sepatutnya disenaraikan dalam kategori itu.
13. Buku Teknikal Terbaik: FRIM Tapak Warisan Semula Jadi
14. Buku Mewah Terbaik (Bergambar): Damai Abadi di Puncak Everest
15. Buku Mewah Terbaik (Alam Semulajadi): Kelip-kelip (The Mysterious and Magical World of Fireflies, Kampung Kuantan Kuala Selangor)
16. Buku Mewah Terbaik (Budaya): Pantun Melayu: Bingkisan Permata
17. Buku Teknikal Terbaik: FRIM Tapak Warisan Semula Jadi
Mungkin typo dalam buku cenderamata.
18. Buku Terlaris: Indahnya Hidup Bersyariat
Ia sepatutnya ada statistik yang menyokong.
19. Buku Umum Terbaik: Variasi Orkid
Lupakan saja angan-angan kita tentang melahirkan manusia yang hebat, unggul, personaliti menara atau apa-apa saja sekiranya buku umum terbaik yang dapat negara kita nikmati adalah buku tentang bunga! Kita mungkin melahirkan manusia unggul yang berkeperibadian bunga atau dengan lain perkataannya, mat dan minah bunga!
20. Penerbit Prolifik (Buku Undang-undang): Golden Book Centre Sdn Bhd
Mungkin ada pembaca dari kalangan pengamal, pensyarah atau pelajar undang-undang boleh memberikan pencerahan. Tetapi susun atur penerima sangat kacau. Bukankah sudah ada anugerah Penerbit Prolifik pada nombor 7? Atau ada pula genrenya dan sekiranya ada, sepatutnya kita ada buku ekonomi, sosial, pendidikan, sukan, budaya, sastera (dan senarai ini tidak mungkin habis!)
Kategori Anugerah Tinta Emas
21. Editor Terbaik: Nor Azah Abd Aziz (Ensiklopedia Perbidanan Melayu)
Walaupun Nor Azah memang tidak dinafikan antara editor buku terbaik yang ada di Malaysia, tetapi yang saya musykilkan bagaimana cara penilaian edit terhadap buku dibuat? Saya kira edit buku sangat jauh bezanya dengan edit filem yang boleh dilihat kesan editing filem yang baik. Lebih baik sekiranya penilaiannya dibuat secara keseluruhan meskipun keputusannya mungkin tidak berubah.
22. Illustrator Terbaik: Jaafar Taib (ejaan sebenar adalah ilustrator dengan huruf L tidak digandakan)
Saya terfikir anugerah ini mungkin mengambil kira buku untuk tempoh satu hingga dua dekad. Sekiranya anugerah ini untuk dekad 1980-an atau 1990-an, barangkali pemilihannya adalah tepat. Namun, industri buku sudah melahirkan ratusan, malah mungkin ribuan ilustrator.
23. Rekabentuk Buku Terbaik: Nor Faimah Abdul Karim (Ensiklopedia Kesenian dan Warisan Islam)
24. Jurufoto Sepanjang Zaman: Wak Nahar Kamsani
25. Naskhah Jilid Terbaik: Yayasan Restu
26. Penerbit Terbaik Buku Bahasa Cina: Green Apple Sdn Bhd
Ini mungkin untuk memenuhi kriteria 1Malaysia.
27. Penerbit Terbaik Buku Bahasa Tamil: Jayabakti
MATI
38 min yang lalu






10 polemik:
Cuba buat pencerahan sikit tentang bezanya anugerah buku YPBN ini dengan MBKM. Itu belum ditambah lagi dengan Anugerah Buku Popular. Pssst...Tahun depan pula ada anugerah buku terjemahan pula di Persidangan Penterjemahan Antarabangsa.
anugerah buku popular lainlah, itu mmg atas dasar populariti.
banyak anugerah buku tak apa, asal penilaiannya ada justifikasi.
Terima kasih kerana menulis tentang perkara ini. Lama sudah saya mencari keputusan untuk semua pencalonan tapi sukar ditemui.
Kenapa kemenangan mereka semua tidak disokong oleh bukti2 kukuh yang memungkinkan mereka menang.
senarai lengkap yang kauturunkan ini wajar diberikan kredit oleh penganjur jika mereka memasukkannya dalam laman web mereka.
:-)
mkriza,
nanti saya tanyakan mereka yg hadir, kalau2 laporan penilaian diberikan.
zaid,
nasihat yg baik. kalau mereka mahu pakai.
Salam sejahtera. Terima kasih sdr Nazmi Yaakub. Pahat sdr berbunyi lain macam sahaja. Untuk makluman, Anugerah Buku Negara bukannya pertandingan! Tidak wajar membandingkan/mempertandingkan individu pengarang/editor/penerbit/
toko buku dsbyna...Anugerah Buku Negara anjuran Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN) hanya mengiktiraf individu yang telah menyumbang (mungkin sedikit) terhadap pembangunan/kemajuan buku negara. YPBN yakin individu serta organisasi awam dan korporat yang diberi anugerah telah sebanyak sedikit memberi sumbangan dan layak diberi anugerah...Wasallam.
ali dina,
penganugerahan mesti ada justifikasi. tentu sekali bukan beri atas dasar suka-suka atau sama rata sama rasa.
dalam penganugerahan tentu sekali faktor adil diambil kira - iaitu meletakkan sesuatu yang berhak pada tempatnya.
jadi itulah yg saya timbulkan mengapa seseorang atau sesuatu buku diiktiraf, berbanding individu atau judul yang lain.
Assalamualaikum, sdr. Nazmi Yaakub. Saya ada blogkan sedikit berkenaan anugerah ini. Sudikan membaca atau komen lanjut di sini
Mungkin selepas ini amugerah ini diubah namanya kepada ASS - Anugerah Syok Sendiri!
betullah telah pun diakui oleh sdr ali dina, jadi sesuai sangatlah ianya dijenamakan semula sebagai ASS - Anugerah Syok Sendiri!
Catat Ulasan