Interlok bela masyarakat bawahan semua kaum


Dialog anjuran PENA pertahan novel karya Abdullah Hussin secara intelektual, sejarawi
Nazmi Yaakub
nazmi@bharian.com.my

DIALOG Novel Interlok di Rumah Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Kuala Lumpur, baru-baru ini, meletakkan Interlok karya Sasterawan Negara (SN), Datuk Abdullah Hussin sebagai novel perjuangan sosial yang membela masyarakat bawahan yang bukan saja tidak mengira etnik, bahkan tidak menghina mana-mana kaum.

Dialog anjuran PENA yang dihadiri lebih 70 peserta yang boleh dianggap antara wacana intelektual yang menarik khalayak teramai itu, meletakkan Interlok sebagai karya yang wajar diangkat seperti Untouchable tulisan Mulk Raj Anand yang dianggap karya agung fiksyen India dalam bahasa Inggeris di negara berkenaan.

Justeru tidak hairanlah Setiausaha Agung PENA, Syed Mohd Zakir Syed Othman, membidas pihak yang melihat Interlok dengan kaca mata perkauman sehingga sanggup membuat kutipan secara memilih-milih dengan prasangka, sekali gus menegaskan karya Abdullah itu ialah novel perjuangan sosial dan bukannya pertelagahan etnik.

“Kontroversi hanya timbul apabila novel itu dilihat dari kaca mata perkauman dan membuat kutipan petikannya untuk mendapatkan kepentingan dan agenda (politik) sehingga menjadikan novel berkenaan sebagai mangsa keadaan.

“Saya lihat Interlok sebagai novel sosial yang memperjuangkan masyarakat bawahan sama seperti Untouchable karya Mulk Raj Anand yang menjadi karya agung di India kerana perjuangan masyarakat bawahan, iaitu Harijans yang tidak boleh bersentuhan itu,” katanya pada dialog yang turut dihadiri Timbalan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Prof Datuk Dr Md Salleh Yaapar; Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Mior Kamarul Shahid dan Pengerusi Majlis Permuafakatan PIBG Nasional, Prof Madya Dr Datuk Mohamad Ali Hassan.

Syed Mohd Zakir berkata, watak Maniam dalam Interlok diangkat oleh Abdullah sebagai satu simbol kepada usaha memperjuangkan masyarakat bawahan kerana watak berkenaan tidak mewakili seluruh orang India yang berhijrah ke negara ini yang turut membabitkan golongan pedagang.

“Saya tidak pernah nampak novel ini dalam konteks pertelagahan etnik, sebaliknya ia mewakili perjuangan sosial dan faktor itulah mendorong rakyat India mengagumi Untouchable yang berjaya mencetuskan perjuangan mengangkat golongan Harijans.

“Kesannya gerakan yang memperjuangkan golongan Harijans dicetuskan oleh Ramasamy Naicker di India pada awal abad ke-20 yang kemudian membawa kepada penubuhan Ahampadiyar Sangam, hasil perjuangan gerakan intelektual dan pertengahan melalui buku seperti novel dan media seperti akhbar,” katanya pada dialog yang dipengerusikan Presiden PENA, Mohamad Saleeh Rahamad.

Ahampadiyar Sangam itu, kata Syed Mohd Zakir, turut ditubuhkan di Batu Pahat pada 1930 oleh KM Murthy yang memperjuangkan masyarakat bawahan yang tidak pernah dilihat sebagai satu penghinaan terhadap etnik.

Perjuangan masyarakat bawahan itulah yang menjadi latar kepada novel Interlok yang menggambarkan perpaduan tiga kaum, iaitu Melayu, Cina dan India ketika menghadapi zaman pendudukan Jepun di Tanah Melayu pada 1940-an.

Beliau menyorot fragmen Seman dan Mak Limah yang menyelamatkan Poh Eng pada adegan rompakan di kedainya; Maniam menyembunyikan Mak Limah dan Pok Heng di estet serta Yew Seng yang berkawan dengan Cikgu Lazim melindungi Seman dan Maniam pada era Bintang Tiga sebagai satu bentuk hubungan kaum yang cantik dalam Interlok.

“Kita dapat melihat bagaimana tiga kaum ini bersatu padu menghadapi keadaan yang sukar sehingga terbina hubungan masyarakat yang sebenarnya mencetuskan idea proses kehidupan dalam masyarakat secara aman damai dan tanpa sebarang prasangka.

“Ini kerana ia menampilkan masyarakat bawahan yang sebenarnya berdepan dengan kelas atasan seperti pengurus estet, sekali gus menempatkan novel itu sebagai novel perjuangan kelas,” katanya yang turut dikenali dengan nama pena SM Zakir.

Apabila novel itu dilihat berdasarkan kaca mata etnik, tegas Syed Mohd Zakir, ia mewakili pandangan yang sempit dan tidak rasional sekali gus bertentangan dengan sifat novel yang objektif serta tidak mempunyai sentimen yang songsang.

“Sekiranya kita melihatnya sebagai perjuangan etnik, kita sebenarnya mengulangi kesalahan masa lampau yang menggagalkan keharmonian masa kini seperti yang disebut oleh Collin Abraham tentang antagonisme etnik, iaitu setiap etnik melihat etnik lain sebagai antagonis kepada mereka.

“Apabila Cina Panjang menindas Pak Musa umpamanya, ia adalah kapitalis yang menindas masyarakat bawahan yang bukan saja boleh terjadi oleh etnik berbeza, bahkan di kalangan kaumnya sendiri seperti kes Maniam yang ditekan oleh pengurus etnik yang turut berbuat demikian terhadap semua bangsa tanpa mengira Melayu, Cina atau India,” katanya yang juga cerpenis dan penyair.

Sementara itu, pengkaji sastera, Dr Fatimah Busu, berkata Interlok merakamkan hakikat kedatangan imigran dari India dan China pada sejarah negara ini peringkat moden, iaitu 1900-an sebagai golongan pekerja selepas kedatangan awal dari kasta Brahmana yang membangunkan kuil di Angko Wat, Kemboja; Borobudur di Jawa Tengah, Indonesia dan Langkasuka di Tanah Melayu.

“Realiti kasta di India sebenarnya diperincikan dalam banyak karya seperti Kanthapura karya Raja Rao; A Passage to India (EM Foster); Nectar in a Sieve dan A Handful of Rice (Kamala Markandaya); The Sweet Vendor (RK Narayan) dan antologi cerpen Stories from India.

“Ini termasuklah Untouchable karya Mulk Raj Anand yang diterjemahkan ke bahasa Melayu oleh Sjahrudin dengan judul Paria dan diterbitkan oleh Oxford Universiti Press pada 1964 yang ketika itu Abdullah menjawat Pembantu Pengarang Kanan di penerbitan berkenaan,” katanya pada panel yang turut disertai novelis veteran, Dr Ilias Zaidi.

Malah, perincian golongan yang disebut oleh pengarang India dan Abdullah itu turut disorot secara visual dalam filem Slumdog Millionaire pada 2008 yang memenangi lapan Anugerah Oscar dan kira-kira 100 anugerah dalam pelbagai festival dan anugerah filem tetapi ia tidak mencetuskan kontroversi seperti Interlok.

Realiti kemiskinan yang menjadi faktor penolak kepada penghijrahan masyarakat India pada dekad terbabit, Dr Fatimah berkata, boleh dibaca dalam novel Nectar in a Sieve yang turut memberi kesan kepada penulisan novelnya, The Missing Piece apabila suami kepada watak utama mati di tepi jalan kerana tidak mampu membuat rumah meskipun daripada lumpur.

“Ini juga disebut oleh bekas Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S Samy Vellu dalam wawancaranya di akhbar yang menegaskan apakah golongan Brahmana, Ksatria dan Waisya yang mahu menjadi pekerja di estet dan kebun kelapa (pada awal 1900-an)?

“Sebaliknya mereka (di luar kasta) itulah yang tidak memiliki pekerjaan dan tidak dapat makan itu datang ke negara ini dengan harapan bumi di seberang laut lebih hijau sehingga dapat mencari kehidupan yang baru,” katanya yang juga mantan pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), novelis dan cerpenis.

Dr Fatimah turut mempersoalkan sekiranya masyarakat India tidak suka dikaitkan dengan leluhur mereka, sudah tentu tidak ada keperluan untuk mewujudkan Little India di Pulau Pinang, Kuching, Klang dan yang terkini di Brickfields, Kuala Lumpur yang dirasmikan oleh Presiden India sendiri.

“Mengapa berdiam diri apabila novel Interlok diterbitkan pada 40 tahun lalu dan mengapa tidak ada yang membantah apabila saya jadikan Untouchable sebagai teks di universiti sejak 1979 hingga 1986 dan 1993 hingga 1997?

“Mereka yang cerdik tahu ia adalah fakta dan realiti kehidupan serta bukannya bertujuan menjatuhkan maruah sesiapa sebaliknya menceritakan bagaimana watak itu membaiki taraf hidup dan berinteraksi antara satu sama lain,” katanya.

Beliau berkata, Interlok yang memenuhi lima ciri karya fiksyen yang baik, iaitu imaginasi, realiti, kreativiti, intelektualiti dan nilai estetika sepatutnya diberikan penghargaan seperti yang diperoleh Untouchable yang dianggap sebagai adikarya fiksyen India dalam bahasa Inggeris dan diterjemah ke dalam 20 bahasa dunia serta memenangi Anugerah Akademi Sahitya.

“Novel ini juga mempunyai nilai estetika yang tinggi dengan unsur flora dan fauna yang begitu banyak serta gambaran terperinci wataknya memberikan pengalaman audio visual yang jarang didapati dalam karya lain.

“Apa yang sangat penting dalam Interlok ialah pengetahuan samping, iaitu ilmu bantu yang diterapkan khususnya sejarah, politik, hubungan ras, semangat kebangsaan yang awal, kesedaran kebudayaan dan sistem pembelajaran di negara ini,” katanya.

1 polemik:

Hasmora 13 Januari 2011 8:30 PG  

isu hanya terjadi bila orang baca beberapa perkataan dalam novel setebal beratus halaman, bila melenting kerananya menunjukkan orang itu tidaklah kurang bebalnya dari seekor kaldai yang hanya tahu memikul kitab.. inilah sikap bodoh sombong, tak boleh nak tegur apatah lagi diajar.. kasihan, inikah peradaban moden yang kita nak banggakan pada anak cucu nanti.. nampaknya negara kita masih bermimpi ingin jadi sebuah negara maju.. wawasan 2020 kena tukar jadi wawasan 2200, sebab hendak keluar dari kepompong negara dunia ketiga seperti khayalan jika identiti peradaban (sastera) masih dijadikan isu dan tak reti-reti nak selesaikannya.. 2020 tinggal 9 tahun lagi, negara maju rasanya takda nak perlekehkan kesusasteraan mereka bahkan makin semarakkan lagi.. kasihan..

Iklan Nuffnang

Plot

Dibasuh dari sumur Ma’ahad Muhammadi; mengalir di sepanjang nahar Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS), lalu dibilas di lembah al-Azhar as-Syarif di tebing Sungai Nil apabila tercampak di pekan kecil Damanhur, pengarang kelahiran Kota Bharu pada 10 Februari 1978 ini, terlontar ke ranah kewartawanan.

Rentak tari pada pentas jurnalisme bermula di meja Sentral dan Jenayah, sebelum berpencak di meja Sastera bersama-sama pengarang tanah air dan Nusantara dari yang bergelar sasterawan hingga penulis yang masih ranum.

Klik untuk menyusuri plot...

E-mel 1: Bukunotakaki
E-mel 2: Sastera Berita Harian
E-mel 3: Literature Journalist
Blog puisi: Bukupuisi
Facebook: Nazmi

ShoutMix chat widget
Rak buku Nazmi: Menggetis buku

Universiti Kedua: Kisah Tahanan Di Bawah ISAAnugerah PertamaRANGGAUPostponing Truth and Other Poems = Menangguhkan Kebenaran dan Sajak-sajak LainLeksikon Sastra JakartaMalu (Aku) Jadi Orang Indonesia

More of Nazmi's books »
Nazmi Yaakub's currently-reading book recommendations, reviews, favorite quotes, book clubs, book trivia, book lists

Penyusur

Twitter bergerisik

    follow me on Twitter